KEMBARA DAKWAH POS TUEL-POS SIGAR-POS BALAR DI GUA MUSANG (11 -16 SEPT 2009)  

Posted by azhar mohamed in , , , , ,

Pos Tuel, Gua Musang - (12-13 September 2009)
Pos Sigar,Gua Musang - (11-13 September 2009)
Pos Balar,Gua Musang - (13-16 September 2009)

"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa didalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para setan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa'."

(HR. Ahmad dan An-Nasa'i)



Hari pertama (11 Sept 2009)

Bergerak dari Gombak dalam pukul 10 pagi dengan 2 buah kenderaan pajero.. Kali ini, hanya hamba dengan Sufi sahaja dari UIA, manakala sahabat-sahabat lain sedang sibuk bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman maklumlah UIA cuti seminggu sebelum kedatangan Syawal. Jadi ramai yang menarik diri untuk misi kali ini.. Takpelah, walaupun sedikit yang pergi perjuangan mesti diteruskan.. Bersama –sama dengan en. Shamsul dan isteri serta Nasir ( orang asal dr kg Husin) kali ini. Untuk minggu ini sahaja ada 3 program besar di tiga tempat yang berlainan yang harus dilakukan iaitu di pos tuel, pos sigar dan pos balar dan semuanya di Gua Musang..

Malangnya satu kenderaan pajero mengalami kerosakan semasa pertengahan jalan di highway PLUS berdekatan Sungkai. Kereta berasap disebabkan bearing rosak dan keluar api lagi dari tayar belakang..Memang agak risiko jadi kami menariknya dengan pajero satu lagi ke Workshop di Ipoh. Hendak dijadikan cerita,pajero putih ini tidak boleh disiapkan dalam sehari sahaja dan mengambil masa agak lama untuk disiapkan.. Jadi bersemadilah ia sementara dari medan perjuangan di workshop yang dimilikki oleh seorang usahawan Melayu yang mahu dikenali sebagai Pak Long yang khusus untuk me’repair’ kenderaan 4WD .

Nasib baik Ustad Wahab (Muhammadiyah International) turut serta dalam expedisi kali ini. Kami menemuinya di tol Ipoh. Jadi semua barang program dipunggah ke pajero biru dan Volvo milik ustaz wahab. Usai itu, kami menuju ke simpang Pulai untuk menemui Dato Razak kerana Dato Razak sudah menunggu di sana bersama sebuah lagi pajero..Dan meneruskan perjalanan ke Gua Musang melalui jalan di simpang Pulai.. Kami berbuka puasa dalam kenderaan semasa masih dalam perjalanan di Cameron Highland. Kali ini, terasa nikmatnya berbuka hanya dengan air tin dan buah tamar sahaja setelah siangnya kami berpenat lelah menghadapi kenderaan yang rosak tadi. Dan akhirnya singgah di pos Sigar untuk berbuka puasa yang sebenarnya.. Di sini kami menemui IOA Kelantan yang sudah berkampung di sini 2 hari yang lepas kerana mereka akan menganjurkan program bersama Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pada keesokkan hari di mana kami akan turut sertai.

Setelah berbuka puasa kami meneruskan destinasi ke Pos Brooke kerana bersedia untuk menerima kehadiran 2 lagi team di sana iaitu dari Kolej Perubatan Diraja Perak, Ipoh dan kakitangan masjid Bangsar.. Lebih kurang 30 orang pelajar dari kolej berkenaan yang terdiri dari pelajar perubatan dan farmasi bersama beberapa orang staff.. Mereka akan mengadakan program di Pos Tuel untuk pemeriksaan perubatan dan pembahagian sumbangan raya dan zakat untuk penduduk asli yang beragama Islam.. Kami (IOA Selangor) sebagai penyelaras bahagian pengangkutan dan makanan.. Oleh kerana semua dah penat seharian bekerja , jadi malam itu kami tidur awal..


Hari kedua (12 Sept 2009)

Kami bersahur di pos Sigar kerana IOA Kelantan dengan baik hati menyediakan sahur untuk kami semua. Kemudian singgah seketika di Cameron Highland untuk ambil beberapa peralatan dapur yang tertinggal di kg asli Penangau yang betul-betul berada di sempadan Pahang –Kelantan pada program sebelum ini. Tempat ini benar-benar sangat sejuk..

Kemudian, kami meneruskan destinasi ke Pos Tuel yang mengambil masa selama 1 jam setengah untuk masuk ke dalam hutan.. Semua peserta sudah ada pada pagi ini termasuklah kakitangan dari Masjid Bangsar yang sampai agak lewat semalam. Hamba sekadar menghantar pelajar-pelajar ini dengan pajero IOA Kelantan dan kemudian kembali semula ke pos Brooke untuk menjaga barang-barang di sini bersama –sama dengan Sufi dan Ustaz Wahab..

Untuk pengetahuan, program di Pos Tuel kali ini diuruskan sepenuhnya oleh Masjid Bangsar dan pelajar-pelajar perubatan dari Ipoh. Mereka akan membuat program di 5 buah kampung iaitu kg plug, kg ber,kg tuel,kg Hanir dan kg Kerbuk di dalam pos tuel ini. Manakala kami akan ke program di Pos Sigar pada petang nya pula bersama-sama Tok Guru. Tetapi ,Tok Guru Nik Aziz tidak dapat hadir pada petang itu untuk iftar bersama-sama penduduk asli kg Sigar oleh kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan. Ini kali kedua hamba datang program berbuka puasa membabitkan Tok Guru dan kedua-duanya beliau tidak dapat hadir. Program sebelum ini majlis iftar di Kg Nakhoda, Gombak di Selangor pada minggu lepas. Pada usia yang lanjut ini, memang masalah kesihatan agak mengganggu perjalanan hidup beliau. Dan beliau mewakilkan isteri dan anaknya ( Nik Omar ) dan beberapa orang SUK. Sebelum berbuka puasa sedikit tazkirah diberikan oleh Nik Omar untuk penduduk asli di sini.

Selepas berbuka puasa dengan makanan yang menyelerakan , adalah sesi pengislaman 8 orang lagi penduduk asli Sigar.. Alhamdulillah, sinar Islam sudah mula menyinari hidup mereka. Lagi indahnya, pengislaman mereka berlaku di bulan Mulia ini,bulan yang penuh keberkatan kepada semua umat manusia.Nur Ramadhan benar-benar memberi rahmat kepada sekalian alam. Kemudian,majlis diteruskan dengan diadakan pembahagian sumbangan raya dan zakat kepada semua penduduk Islam kg Sigar.Kami kembali ke Pos Brooke semula untuk tidur pada malam itu.


Hari ketiga (13 Sept 2009)

Pagi ini, hamba dengan ustaz Wahab menuju ke Cameron Highland lagi untuk mengambil Land Cruiser yang sedang dibaiki di workshop di kg Raja untuk digunakan pada malam ini bagi perjalanan ke Pos Balar. Manakala En. Shamsul dan Sufi masuk ke Pos Tuel untuk mengambil peserta-peserta yang sedang berada di sana kerana program di pos Tuel akan habis pada pagi ini. Kami menunggu agak lama di Cameron Highland untuk memastikan Land Cruiser ini dibaiki sepenuhnya sehingga jam 3 petang . Manakala mereka yang berada di pos Tuel juga keluar agak lambat kerana ada pembetulan jalan dipertengahan jalan keluar.

Dalam pukul 3 semua orang sudah dapat keluar dari Pos Tuel. Maka pada saat ini majlis perpisahan antara kami dengan pelajar perubatan Ipoh ini dan masjid Bangsar. Mereka akan pulang semula ke tempat masing-masing tetapi kami akan meneruskan perjalanan lagi mencabar ke Pos Balar untuk 4 hari lagi. Oleh kerana hamba tidak berada lama di pos Tuel dan tidak dapat join aktiviti di sana jadi kisah penuh pasal program di pos Tuel boleh dibaca dari seorang pelajar perubatan Ipoh di dalam blog ini
(http://layyinulharir.blogspot.com/2009/09/066-rehlah-to-post-tuel.html) .

Setelah membuat persediaan rapi untuk misi ke Pos Balar, kami bergerak dalam pukul 6 petang menuju ke Kuala Betis. Kali ini, jumlah yang pergi ke pos balar adalah seramai 8 orang sahaja semuanya. Kemudian kami berbuka puasa antara simpang Air Panas dan simpang pos Hendrop. Dan kemudian team yang menaiki Land Cruiser menuju terus ke kuala Betis manakala satu pajero menuju ke Bandar Gua Musang untuk membeli stok minyak kenderaan untuk kegunaan di dalam hutan nanti. Takut kehabisan minyak kerana di dalam hutan tiada minyak lagipun terpaksa tempuhi perjalanan yang agak lama lebih kurang dalam 6 jam.

Singgah di surau kuala Betis untuk menunaikan solat terawikh dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan lagi. Perjalanan kali ini akan dilakukan pada waktu malam.. Ya,perjalanan kali ini akan dilakukan pada waktu malam kerana kalau dilakukan pada waktu siang akan terasa penat lagi kerana pada siangnya kena berpuasa seperti mana hamba ter’hidrasi’ semasa ke pos Simpor 2 minggu lepas.. Untuk mengelakkan kepenatan keterlaluan jadi kami memutuskan untuk gerak masuk ke dalam hutan pada waktu malam.. Sekali gus, ia mengingatkan hamba akan perjalanan malam semasa ke Kuala Mu tempoh hari..

Bergerak dari Kuala Betis dalam pukul 12 lebih menuju ke simpang perjalanan ke Pos Balar. Perjalanan malam yang gelap gelita hanya ditemani bunyian mergastua. Terasa sangat syahdu terutama perjalanan di malam bulan puasa lebih-lebih lagi di malam 10 terakhir ramadhan. Samaada kami menemui malam ‘lailatul qadar’, itu urusan antara seorang hamba dengan tuhannya.. Perjalanan malam yang agak lancar kerana bernasib baik hari tersebut tidak hujan jadi keadaan jalan tidaklah beberapa teruk sangat. Cuma kebimbangan akan minyak clutch land cruiser yang tinggal sedikit sahaja agak memperlahankan perjalanan kami ini.


Hari keempat (14 Sept 2009)

Kami melihat jam sudah pukul 5 pagi ,tetapi perjalanan masih jauh lagi.. Jadi singgah sebentar di sebatang sungai untuk memasak sahur.. Di sini lah adegan ‘mai secawan ‘ kami di lakukan..Bukanlah dengan ‘coffee Radix’ tapi dengan ‘teh boh’ yang dibeli semalam di Cameron highland oleh ustaz wahab. Makanan sahur kami cuma nasi berlaukkan maggie sahaja sebagai mengisi perut untuk keesokkan harinya..

Kemudian meneruskan perjalanan sehingga sampai ke sebatang sungai lagi di Ipes, berhenti seketika untuk mandi dan solat Subuh.. Selesai mandi terasa segar kembali pabila badan ini dilimpahi air sungai yang menyejukkan..Usai solat, sedikit tazkirah diberikan oleh En Shamsul sebagai ustaz kami mengingatkan kembali akan matlamat perjalanan dan misi kami.

Sampai di kampung asli Ipes dalam pukul 7 pagi lebih.Perjalanan mengambil masa 6 jam lebih. Kemudian segera memunggah barang-barang ke dalam rumah en. Shamsul di situ. Selesai punggah, mata pun sudah agak berat dan mahu melelapkan mata.. Jadi 2 khemah dipasang untuk kami tidur sebentar kerana semalamam tidak tidur dari semalam. Semua orang benar-benar sudah letih jadi tidur lah dengan lenanya pada pagi itu .Dalam pukul 11 pagi, hamba tersedar kerana rasa macam sudah tidur lama sedangkan baru tiga jam tidur.huhuu.. Dan pada ketika itu mendapat panggilan dari en Shamsul untuk pergi ke Kg Balar. Melihat yang lain sedang lena tidur, jadi cuma kami bertiga (aku,en Shamsul dan Din) yang pergi ke sana .Biarkan yang lain berehat dulu.

Pergi ke Kg Balar untuk menyediakan masakan untuk berbuka pada petang ini kerana kami akan berbuka di Kg Balar pada hari ini. Tujuan sediakan makanan awal di sini kerana pada petang ini kami akan membuat lemang di Kg ipes. Jadi selesai memasak di situ dalam pukul 4, kami tinggalkan makanan yang dah siap dalam surau pos Balar dan kemudian kembali semula ke Kg Ipes..

Di kg Ipes , kami membuat lemang untuk penduduk kampung berlaukkan redang ayam. Tujuan kami membuat lemang adalah untuk tunjukkan suasana hari raya kepada mereka, walaupun raya seminggu lagi. Iyelah,di sana kebanyakan mereka baru memeluk agama Islam. Jadi mahu menunjukkan suasana hari kemenangan kepada umat Islam iaitu ‘hari raya’ jadi kami buatkan untuk mereka. Sama –sama meraikan bersama mereka ,makan secara beramai-ramai dan tunjukkan ukhwah kita..Dan kami berterawikh di sini juga.


Hari kelima (15 Sept 2009)

Kali ini hamba tidak bangun sahur,maklumlah terlampau letih sampai tak larat nak bangun. Orang yang bangun sekadar makan lemang lebih yang dibuat semalam. Kemudian,pada pagi ini hamba ,Sufi , Din dengan Ripin (orang asli kg Ipes) pergi menjaring ikan di sungai di suatu lubuk yang agak dalam. Agak banyaklah hasil yang dapat seperti dapat ikan tengas, kelah dan keli.

Pada tengahari,kami berkemas-kemas untuk pergi ke Kg Dakoh kerana kami akan membuat program dan akan tidur di sana hari ini.Kg Dakoh tidak berapa jauh dari kg Ipes. Lebih kurang 2o minit perjalanan.. Sebahagian orang menyediakan lauk dan makanan untuk berbuka puasa nanti manakala sebahagian lagi ke kg Belatim untuk berjumpa dengan seorang wanita asli asli bernama ‘Siti Hajar’ adalah merupakan hanya dialah seorang yang beragama Islam di kampung tersebut.Tambahan bahagian rumah yang dibina untuknya sudah siap sepenuhnya bersama dengan zink baru menggantikan atap nipah sebelum ini. Sumbangan hari raya turut diberikan untuknya. Manakala ,Ustaz wahab memberikan karpet dan set alat dapur kepadanya..

Untuk pengetahuan, kisah pengislaman Siti Hajar agak menarik . Beliau sanggup datang dari jauh seorang diri hanya dengan berjalan kaki dari Kg Belatim menuju ke Kg Balar yang jaraknya agak jauh untuk menyatakan keIslaman beliau ketika IOA membuat program di situ. Ia menunjukkan kecekalan hati wanita ini untuk menerima agama Islam ini sebagai agamanya dan sampai sekarang masih beliau seorang sahaja beragama Islam di situ. Diharap kan suatu hari nanti penduduk kg Belatim yang lain ini akan dapat sama menerima agama Islam walaupun di situ pengaruh Kristian terlalu kuat. Mubaligh kristian selalu datang untuk menyebarkan dakwah mereka di situ..

Kami kemudian kembali ke Kg Dakoh untuk menyambung kembali tugas memasak di sini. Sekali lagi lemang dibuat lagi di kampung ini. Dan petang itu hujan turun membasahi bumi gersang Dakoh ini memberikan seribu satu rahmat kepada penduduk di sini setelah beberapa hari tidak hujan. Suasana petang yang sangat mendamaikan. Kemudian, berbuka bersama-sama penduduk sini dan menikmati juadah lemang pada malamnya..Usai terawikh berjemaah, ada ditunjukkan tayangan wayang kepada penduduk kampung dengan filem ‘Mendam Berahi’. Itu pun pinjam CD cerita dari orang kampung situ juga.


Hari keenam (16 Sept 2009)

Hari ini hamba bersahur dengan nasi berlaukkan daging masak kicap yang hamba masak seorang diri malam tadinya memandangkan semua orang sudah kepenatan semalaman. Hari ini kenalah bersahur kerana hari ini kami akan keluar dari hutan untuk kembali ke KL semula, jadi kena guna tenaga lebih memandangkan perjalanan pulang pada waktu siang. Dan singgah semula ke Kg Ipes untuk mengambil semula barang-barang yang ditinggalkan di situ untuk di bawa pulang.

Perjalanan pulang tidak menghadapi sebarang masalah dan perjalanan lancar. Singgah semula ke Pos Brooke untuk meninggalkan barang program di situ dan Land Cruiser di situ. Kemudian kami singgah berbuka di masjid kampung Raja di Cameron Highland.Di sinilah,kami berpisah dengan Ustaz Wahab..Ustaz Wahab akan kembali ke Penang manakala kami akan kembali ke KL. Berbalik pada kisah ustaz Wahab, beliau demam sepanjang masa semasa program di Pos Balar. Beliau tidur sepanjang hari. Kesian saya melihat tubuh tua ini terlalu lemah semasa di Pos Balar.Namun semangat juangnya sangat tinggi untuk turut sama menyiarkan dakwah Islamiyah kepada orang asli. Sekali lagi hamba sangat kagum dengan beliau dan menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi kepada diri ini untuk terus tabah dalam medan juang ini.

Esoknya, hamba meneruskan lagi pengembaraan ke Johor Bahru untuk beraya di kampung halaman bersama keluarga tercinta.

Satu kisah pengembaraan yang panjang untuk kali ini.

Gambar-gambar akan di ‘upload’ kemudian..

salam perjuangan al-azhar
selamat hari raya maaf zahir dan batin

This entry was posted on 27.9.09 at Sunday, September 27, 2009 and is filed under , , , , , . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

3 komen

YUSUF  

BAGUS-BAGUS KERJA SAUDARA....SEMOGA TUHAN MEMBERKATI..

October 1, 2009 at 7:33 PM
mr w  

memang sgt panjang ceritanya..menarik,camne boleh join pengembaraan speerti ini?

October 19, 2009 at 7:25 PM

So, mcmane dgn Hajar skrg? dah 2thn berlalu ni.

Wah~ pandy masak daging masak kicap ye... letak daging n letak kicap je ke? hee~ =P

April 15, 2011 at 11:13 AM

Post a Comment